Chapter 23
1 Tetapi Ayub menjawab,
2 "Aku tetap memberontak dan membantah Allah; aku tidak dapat menahan keluh kesah.
3 Alangkah baiknya jika aku tahu di mana Allah berada, dan dapat pergi ke tempat-Nya.
4 Maka aku akan mengajukan perkaraku kepada-Nya, dan membela diri dengan sedaya upaya.
5 Aku hendak tahu apa yang akan dikatakan-Nya, dan bagaimana Dia memberikan jawapan-Nya.
6 Adakah Allah dengan segala kekuatan-Nya menentang diriku? Tidak, Dia akan mendengarkan kata-kataku.
7 Aku jujur dan dapat berhujah dengan Allah, dan aku akan dinyatakan tidak bersalah untuk selama-lamanya.
8 Aku telah mencari Allah di timur, tetapi Dia tiada di sana; apabila aku mencari Dia di barat, Dia juga tiada di sana.
9 Allah telah bertindak di selatan dan utara, tetapi aku masih belum menemui Dia.
10 Namun Allah tahu setiap langkahku; jika aku diuji, terbukti kemurnian hatiku.
11 Aku mengikut jalan-Nya dengan setia, aku tidak menyimpang dari jalan yang ditentukan-Nya.
12 Perintah-perintah Allah selalu kutaati, aku menurut kehendak-Nya, bukan kehendakku sendiri.
13 Allah tidak pernah berubah dan tiada yang dapat menentang Dia. Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya.
14 Dia akan menjalankan rancangan-Nya untuk diriku, dan banyak lagi rancangan-Nya selain itu.
15 Kerana takut akan Dia, gementarlah aku; semakin aku fikirkan semua itu, semakin takutlah aku.
16 Aku takut kerana Allah, dan bukan kerana kegelapan, walaupun kegelapan mengelilingi aku dan menutupi wajahku.
