Chapter 2
1 Aku bunga mawar di Saron, bunga bakung di lembah gunung. Lelaki
2 Seperti bunga bakung antara semak berduri, demikianlah sayangku antara puteri. Wanita
3 Bagaikan pokok epal antara pokok-pokok hutan, demikianlah sayangku antara kaum lelaki. Aku suka bernaung di bawahnya, buah-buahnya manis rasanya.
4 Dia membawa aku ke dewan pesta, pandangannya padaku penuh cinta.
5 Kuatkanlah aku dengan kismis, segarkanlah aku dengan epal, kerana aku sakit asmara.
6 Tangan kirinya menopang kepalaku, tangan kanannya membelai aku.
7 Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, demi rusa dan kijang di padang bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami. Wanita
8 Aku mendengar suara kekasihku. Dia lari kepadaku melalui bukit dan gunung.
9 Kekasihku seperti kijang; dia seperti anak rusa. Di balik tembok dia berdiri, dengan matanya dia menatap, dan mengintip dari kisi-kisi tingkap.
10 Kekasihku berkata-kata kepadaku. Lelaki Marilah, hai sayangku, marilah jelitaku, marilah.
11 Musim sejuk sudah berlalu; hujan pun sudah berhenti.
12 Bunga di padang sudah mekar. Inilah masanya untuk menyanyi; bunyi tekukur terdengar di padang.
13 Buah ara mula masak; pokok anggur semerbak harum bunganya. Marilah, hai sayangku, marilah jelitaku, marilah.
14 Engkau seperti burung merpati yang bersembunyi di celah-celah bukit batu. Biarlah kulihat wajahmu yang cantik itu, biarlah kudengar suaramu yang merdu.
15 Tangkaplah rubah-rubah yang kecil itu, rubah yang merosakkan ladang anggur, kerana pokok anggur kita sedang berbunga. Wanita
16 Kekasihku kepunyaanku, dan aku kepunyaannya. Dia menggembala dombanya di tengah-tengah bunga bakung
17 sehingga angin fajar bertiup dan kegelapan pun hilang. Kembalilah, hai sayangku, seperti kijang, seperti anak rusa di pergunungan Beter.
