Chapter 52
1 Bangunlah, hai Yerusalem, bangunlah! Kuatkanlah hatimu! Kenakanlah pakaian kebesaranmu! Hai Yerusalem, kota yang suci, orang najis tidak akan memasuki pintu gerbangmu lagi.
2 Bebaskanlah dirimu, hai Yerusalem! Bangkitlah dan kebaskanlah debu yang melekat padamu. Putuskanlah rantai yang mengikat leher kamu, hai penduduk Sion yang tertawan!
3 TUHAN Raja berfirman kepada umat-Nya, "Ketika kamu menjadi hamba, kamu tidak dibeli dengan wang. Demikian juga ketika kamu dibebaskan, kamu tidak akan ditebus dengan wang.
4 Semasa kamu tinggal di Mesir sebagai orang bangsa asing, kamu pergi ke sana dengan kemahuan kamu sendiri. Lalu Asyur menawan kamu tanpa alasan.
5 Sekarang di Babilonia hal yang sama telah berlaku: kamu ditawan tanpa alasan. Mereka yang menawan kamu sentiasa memegahkan diri dan menghina Aku.
6 Pada masa yang akan datang, kamu akan mengakui bahawa Akulah Allah, dan bahawa Aku telah berfirman kepada kamu."
7 Betapa baiknya melihat kedatangan utusan, dia datang melintasi pergunungan, dan membawa berita baik, berita kedamaian! Dia mengisytiharkan penyelamatan, dan berkata kepada Sion, "Allahmu memerintah!"
8 Para pengawal kota berteriak-teriak, mereka bersorak bersama-sama kerana sukacita. Dengan mata sendiri mereka melihat TUHAN kembali ke Sion.
9 Bersorak-soraklah, hai runtuhan Yerusalem! TUHAN akan menyelamatkan kota-Nya serta menghiburkan hati umat-Nya.
10 TUHAN akan menggunakan kuasa-Nya yang suci di hadapan semua bangsa. Dia akan menyelamatkan umat-Nya, dan seluruh bumi akan menyaksikannya.
11 Pergilah! Tinggalkanlah Babilonia, hai kamu yang membawa perkakas Rumah TUHAN! Janganlah sentuh apa-apa yang najis, sucikanlah diri kamu dan berangkatlah.
12 Kamu tidak akan pergi tergesa-gesa seperti orang yang melarikan diri. TUHAN akan memimpin kamu, Allah Israel akan melindungi kamu dari setiap penjuru.
13 TUHAN berfirman, "Hamba-Ku akan berjaya dalam tugasnya; dia akan disanjung tinggi.
14 Dahulu banyak orang terperanjat melihat dia, kerana rupanya dicacati sehingga tidak lagi seperti rupa manusia.
15 Tetapi sekarang bangsa-bangsa hairan melihat dia, raja-raja terpegun kerana kagum. Mereka akan melihat dan memahami perkara-perkara yang belum pernah diketahui mereka."
