Chapter 119
1 Berbahagialah orang yang hidup tanpa cela, dan hidup menurut Taurat TUHAN.
2 Berbahagialah mereka yang menurut perintah-Nya, dan mentaati Dia dengan sepenuh hati.
3 Mereka tidak melakukan kejahatan, tetapi hidup menurut kehendak TUHAN.
4 Engkau memberi kami hukum-Mu, ya TUHAN, dan menyuruh kami mematuhinya dengan setia.
5 Semoga aku setia mematuhi peraturan-Mu.
6 Jika aku menumpukan perhatian kepada semua perintah-Mu, aku tidak akan dipermalukan.
7 Ketika aku mempelajari ketetapan-Mu yang adil, aku akan memuji Engkau dengan hati yang murni.
8 Aku akan taat kepada hukum-Mu; janganlah sekali-kali tinggalkan aku!
9 Bagaimanakah seorang pemuda dapat hidup suci? Dia dapat hidup suci dengan mentaati perintah-Mu.
10 Dengan sepenuh hati aku berusaha untuk mentaati Engkau; jangan biarkan aku menyimpang daripada perintah-Mu.
11 Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku, supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu.
12 Aku memuji Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku kehendak-Mu.
13 Aku akan menceritakan segala hukum yang telah Engkau berikan.
14 Aku gemar menurut perintah-Mu, lebih daripada memiliki segala kekayaan.
15 Aku akan mengkaji peraturan-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ajaran-Mu.
16 Aku gemar akan hukum-Mu; aku tidak akan melupakan perintah-Mu.
17 Semoga Engkau murah hati kepadaku, hamba-Mu, supaya aku dapat hidup dan mentaati ajaran-Mu.
18 Bukalah mataku supaya aku dapat melihat ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu.
19 Aku tinggal di bumi ini hanya untuk seketika; janganlah sembunyikan perintah-Mu daripadaku.
20 Hatiku sangat rindu untuk mengetahui ketetapan-Mu setiap waktu.
21 Engkau menegur orang yang sombong; terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu.
22 Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka, kerana aku telah melakukan hukum-Mu.
23 Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku, tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu.
24 Peraturan-Mu menyenangkan hatiku; peraturan-Mu menasihati aku.
25 Aku terbaring di atas debu kerana kalah; pulihkanlah aku menurut janji-Mu.
26 Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku; ajarlah aku kehendak-Mu.
27 Tolonglah aku memahami hukum-Mu, dan aku akan merenungkan ajaran-Mu yang mengagumkan.
28 Jiwaku hancur kerana kesedihan; kuatkanlah aku menurut janji-Mu.
29 Jauhkanlah aku dari jalan yang salah, dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu.
30 Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu.
31 Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan.
32 Aku suka mentaati perintah-Mu, kerana Engkau menambahkan pengertianku.
33 Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu, dan aku akan mentaatinya selalu.
34 Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya, dan dengan sepenuh hati melakukannya.
35 Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu, kerana perintah-Mu menggembirakan aku.
36 Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu, dan bukan untuk mendapat kekayaan.
37 Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; berilah aku hidup menurut kehendak-Mu.
38 Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu, janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu.
39 Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti; betapa baiknya ketetapan-Mu.
40 Aku mahu mentaati perintah-Mu; berilah aku hidup baru kerana Engkau adil.
41 Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
42 Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku, kerana aku mempercayai firman-Mu.
43 Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar, kerana aku yakin akan ketetapan-Mu.
44 Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu, untuk selama-lamanya.
45 Maka aku akan hidup dengan bebas, kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu.
46 Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja, dan aku tidak akan dipermalukan.
47 Aku gemar mentaati perintah-Mu, kerana aku mencintai perintah-Mu.
48 Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu; aku akan merenungkan peraturan-Mu.
49 Ingatlah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu; janji yang telah memberikan harapan kepadaku.
50 Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur, kerana janji-Mu memberi aku hidup.
51 Orang sombong selalu menghina aku, tetapi aku tidak menyimpang daripada Taurat-Mu.
52 Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu, dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN.
53 Aku sangat marah kepada orang jahat apabila mereka melanggar Taurat-Mu.
54 Selama hidupku yang singkat di bumi ini, aku menggubah lagu tentang perintah-Mu.
55 Pada waktu malam aku ingat akan Engkau, ya TUHAN, dan aku memikirkan Taurat-Mu.
56 Aku mendapat kebahagiaan dengan mentaati perintah-Mu.
57 Hanya Engkau yang aku inginkan, ya TUHAN; aku berjanji untuk mematuhi hukum-Mu.
58 Dengan sepenuh hati aku meminta kepada-Mu; kasihanilah aku menurut janji-Mu.
59 Aku telah memikirkan kelakuanku, dan berjanji akan menurut peraturan-Mu.
60 Aku bergegas-gegas dan tidak membuang masa untuk melakukan perintah-Mu.
61 Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melupakan Taurat-Mu.
62 Pada tengah malam aku bangun untuk memuji Engkau, kerana ketetapan-Mu adil.
63 Aku bersahabat dengan semua orang yang taat kepada-Mu, semua orang yang mematuhi hukum-Mu.
64 Ya TUHAN, bumi penuh dengan kasih-Mu yang kekal; ajarlah aku perintah-Mu.
65 Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN, dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu.
66 Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan, kerana aku percaya kepada perintah-Mu.
67 Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu, tetapi kini aku mematuhi firman-Mu.
68 Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik; ajarlah aku perintah-Mu.
69 Orang sombong memfitnah aku, tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu.
70 Mereka tidak mempunyai pengertian, tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku.
71 Memang baik Engkau menghukum aku, supaya aku memahami perintah-Mu.
72 Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga daripada segala kekayaan di dunia.
73 Engkau mencipta dan membentuk aku; berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu.
74 Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku, kerana aku percaya kepada janji-Mu.
75 Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN, dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia.
76 Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku, menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu.
77 Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup, kerana aku gemar akan Taurat-Mu.
78 Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku, tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu.
79 Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku, semua orang yang mengenal perintah-Mu.
80 Semoga aku mentaati segala perintah-Mu, supaya aku tidak dipermalukan.
81 Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku; aku percaya akan janji-Mu.
82 Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan, sementara aku bertanya, "Bilakah Engkau akan menolong aku?"
83 Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang, namun aku tidak melupakan perintah-Mu.
84 Sampai bilakah aku mesti menunggu? Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku?
85 Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu sudah menggali lubang untuk memerangkap aku.
86 Semua perintah-Mu dapat dipercayai; tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta!
87 Mereka hampir berjaya membunuh aku, tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu.
88 Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal, supaya aku dapat mentaati hukum-Mu.
89 Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya; firman-Mu kekal abadi di syurga.
90 Engkau tetap setia selama-lamanya, Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada.
91 Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang, kerana semuanya hamba-Mu.
92 Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku, pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku.
93 Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu, kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku.
94 Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu; aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu.
95 Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku, tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu.
96 Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas; hanya perintah-Mu yang sempurna.
97 Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari.
98 Perintah-Mu selalu bersama-sama aku, dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku.
99 Pengertianku melebihi pengertian semua guruku, kerana aku merenungkan peraturan-Mu.
100 Aku lebih bijak daripada orang tua, kerana aku mentaati perintah-Mu.
101 Aku mengelakkan segala kelakuan jahat, kerana aku mahu mematuhi firman-Mu.
102 Aku tidak melalaikan peraturan-Mu, kerana Engkaulah yang mengajar aku.
103 Betapa manisnya peraturan-Mu; lebih manis daripada madu!
104 Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu, oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk.
105 Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku, dan cahaya yang menerangi jalanku.
106 Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah, untuk mentaati peraturan-Mu yang adil.
107 Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN; selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu.
108 Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN, dan ajarlah aku perintah-Mu.
109 Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku; aku tidak melupakan Taurat-Mu.
110 Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu.
111 Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; perintah-Mu adalah kesukaan hatiku.
112 Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu sehingga akhir hidupku.
113 Aku membenci orang yang tidak setia kepada-Mu dengan sepenuh hati, tetapi aku mencintai Taurat-Mu.
114 Engkaulah pembelaku dan pelindungku; aku berharap kepada janji-Mu.
115 Hai orang jahat, pergilah daripadaku. Aku akan mematuhi perintah Allahku.
116 Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup; jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku!
117 Bantulah aku, lalu aku akan selamat, dan aku akan sentiasa memperhatikan perintah-Mu.
118 Engkau menolak semua orang yang tidak mematuhi hukum-Mu; muslihat mereka sia-sia belaka.
119 Engkau menganggap semua orang jahat seperti sampah; oleh itu aku mencintai peraturan-Mu.
120 Aku gementar kerana takut kepada-Mu, dan aku gentar kerana ketetapan-Mu.
121 Aku telah melakukan perkara yang adil dan benar; jangan serahkan aku kepada musuh-musuhku!
122 Berjanjilah bahawa Engkau akan menolong hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindas aku!
123 Mataku penat menantikan Engkau datang untuk menyelamatkan aku, dan untuk membebaskan aku, menurut janji-Mu.
124 Perlakukanlah aku sesuai dengan kasih-Mu, dan ajarlah aku perintah-Mu.
125 Aku ini hamba-Mu, berilah aku pengertian, supaya aku memahami ajaran-Mu.
126 Inilah masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana orang melanggar Taurat-Mu.
127 Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas, lebih daripada emas murni.
128 Oleh itu aku mengikut segala peraturan-Mu; aku benci akan segala perbuatan yang salah.
129 Ajaran-Mu sungguh mengagumkan; aku mentaatinya dengan sepenuh hati.
130 Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya, memberikan pengertian kepada orang jahil.
131 Aku haus akan perintah-Mu, aku sangat menginginkannya.
132 Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu.
133 Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh; jangan biarkan kejahatan menguasai aku.
134 Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku, supaya aku dapat mentaati perintah-Mu.
135 Berkatilah aku dengan hadirat-Mu, dan ajarlah aku hukum-Mu.
136 Air mataku mengalir seperti sungai, kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu.
137 Engkau adil, ya TUHAN, dan hukum-Mu adil.
138 Peraturan yang Engkau berikan semuanya adil dan benar.
139 Kemarahan membara dalam diriku kerana musuhku melanggar perintah-Mu.
140 Janji-Mu dapat dipercayai, aku sangat mencintainya.
141 Aku ini tidak penting dan aku terhina, tetapi aku tidak melalaikan ajaran-Mu.
142 Keadilan-Mu kekal selama-lamanya, dan Taurat-Mu tetap benar.
143 Kesusahan dan kekhuatiran menimpa aku, tetapi perintah-Mu menggembirakan hatiku.
144 Peraturan-Mu selalu adil; berilah aku pengertian supaya aku hidup.
145 Dengan sepenuh hati, aku berseru kepada-Mu; kabulkanlah doaku, ya TUHAN; aku akan taat kepada perintah-Mu.
146 Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku; aku mahu mematuhi hukum-Mu.
147 Sebelum fajar aku berseru kepada-Mu minta tolong, aku berharap kepada janji-Mu.
148 Sepanjang malam aku tidak tidur, kerana merenungkan peraturan-Mu.
149 Demi kasih-Mu yang kekal, ya TUHAN, dengarlah aku; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku.
150 Penganiayaku yang kejam sudah dekat; mereka tidak pernah mematuhi Taurat-Mu.
151 Tetapi Engkau dekat kepadaku, ya TUHAN, dan segala perintah-Mu itu benar.
152 Sejak dahulu aku tahu akan peraturan-Mu, yang Engkau kekalkan selama-lamanya.
153 Lihatlah penderitaanku dan selamatkanlah aku, kerana aku tidak mengabaikan Taurat-Mu.
154 Belalah perkaraku dan bebaskanlah aku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
155 Orang jahat tidak akan diselamatkan, kerana mereka tidak mematuhi hukum-Mu.
156 Sungguh besar belas kasihan-Mu, ya TUHAN; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku.
157 Banyak orang memusuhi dan menindas aku, tetapi aku tidak pernah mengabaikan hukum-Mu.
158 Aku benci melihat pengkhianat-pengkhianat itu, kerana mereka tidak mematuhi perintah-Mu.
159 Lihatlah, aku sangat mencintai peraturan-Mu, ya TUHAN. Selamatkanlah aku, kerana kasih-Mu.
160 Segala firman-Mu benar, dan semua ketetapan-Mu yang adil itu abadi.
161 Orang berkuasa menyerang aku tanpa alasan, tetapi hanya Taurat-Mu yang aku takuti.
162 Janji-Mu membahagiakan aku, seperti orang yang menemukan harta.
163 Aku sangat membenci segala dusta, tetapi aku mencintai Taurat-Mu.
164 Aku terus-menerus bersyukur kepada-Mu bagi ketetapan-Mu yang adil.
165 Orang yang mencintai Taurat-Mu mendapat kesejahteraan; mereka tidak akan ditimpa malapetaka.
166 Aku menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku, ya TUHAN, dan aku melakukan segala perintah-Mu.
167 Aku mentaati ajaran-Mu, dan mencintainya dengan segenap hati.
168 Aku mematuhi perintah dan peraturan-Mu, kerana Engkau melihat segala perbuatanku.
169 Semoga seruanku minta tolong sampai kepada-Mu, ya TUHAN! Berilah aku pengertian seperti yang telah Engkau janjikan.
170 Dengarkanlah doaku, dan selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
171 Aku akan memuji Engkau selalu, kerana Engkau mengajar aku hukum-Mu.
172 Aku akan menyanyi tentang Taurat-Mu, kerana perintah-Mu adil.
173 Semoga Engkau selalu bersedia menolong aku, kerana aku mahu mengikut perintah-Mu.
174 Ya TUHAN, aku berharap supaya diselamatkan oleh-Mu, Taurat-Mu menggembirakan hatiku.
175 Semoga aku hidup supaya aku dapat memuji Engkau; semoga peraturan-Mu menolong aku.
176 Aku merayau seperti domba yang sesat; oleh itu datanglah untuk mencari hamba-Mu, kerana aku tidak mengabaikan hukum-Mu.
