Chapter 90
1 Doa Musa, hamba Allah. Ya Tuhan, Engkau tempat perlindungan kami, sampai selama-lamanya.
2 Sebelum Engkau menjadikan bukit-bukit, sebelum Engkau menciptakan dunia, Engkaulah Allah yang kekal, Allah selama-lamanya.
3 Engkau menyuruh manusia kembali kepada asal mereka, Engkau menjadikan mereka debu semula.
4 Seribu tahun seperti sehari bagi-Mu; seperti hari kelmarin yang telah lalu, seperti satu giliran jaga pada waktu malam.
5 Engkau mengakhiri hidup kami, hidup kami seperti mimpi. Kami umpama rumput yang bertunas pada waktu pagi,
6 yang tumbuh dan berbunga, tetapi layu dan mati pada waktu petang.
7 Kami binasa kerana kemurkaan-Mu; kami takut kerana kemarahan-Mu.
8 Engkau membentangkan dosa kami di hadapan-Mu, dosa kami yang tersembunyi dilihat oleh-Mu.
9 Usia kami dikurangkan kerana kemurkaan-Mu; hidup kami berakhir seperti satu hembusan nafas.
10 Tujuh puluh tahun sahaja usia kami, lapan puluh, jika kami kuat; namun yang kami alami hanya kekhuatiran dan kesusahan; kehidupan segera berakhir dan kami pun lenyap.
11 Siapakah pernah mengalami dahsyatnya kemurkaan-Mu? Siapakah yang sedar akan akibat kemarahan-Mu?
12 Sedarkanlah kami betapa pendeknya usia kami, supaya kami menjadi bijak bestari.
13 Ya TUHAN, sampai bilakah Engkau murka? Kembalilah dan kasihanilah hamba-hamba-Mu.
14 Puaskanlah kami dengan kasih-Mu pada setiap pagi, supaya kami dapat menyanyi dan bergembira seumur hidup kami.
15 Berilah kami kebahagiaan sebanyak kedukaan yang kami tanggung dalam tahun-tahun kesengsaraan.
16 Tunjukkanlah perbuatan-Mu yang ajaib kepada kami, hamba-hamba-Mu, dan kuasa-Mu yang mulia kepada keturunan kami.
17 Ya TUHAN, Allah kami, berkatilah kami, dan berilah kami kejayaan dalam segala usaha kami.
