Chapter 96
1 Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN! Bernyanyilah untuk TUHAN, hai seluruh dunia!
2 Bernyanyilah untuk TUHAN, dan pujilah Dia! Setiap hari isytiharkanlah berita baik bahawa Dia telah menyelamatkan kita.
3 Isytiharkanlah keagungan-Nya kepada bangsa-bangsa, dan perbuatan-Nya yang mengagumkan kepada segenap manusia.
4 TUHAN itu agung dan mesti dipuji setinggi-tingginya, Dia mesti dihormati lebih daripada semua dewa.
5 Dewa-dewa bangsa lain hanya patung berhala, tetapi TUHAN pencipta angkasa raya.
6 Kemuliaan dan keagungan mengelilingi Dia, tempat kediaman-Nya dipenuhi kuasa dan semarak-Nya.
7 Hai semua orang di bumi, pujilah TUHAN! Pujilah keagungan dan keperkasaan-Nya!
8 Pujilah nama TUHAN yang mulia; bawalah persembahan dan masuklah ke dalam kediaman-Nya.
9 Bersujudlah di hadapan TUHAN apabila Dia muncul; gementarlah di hadapan-Nya, hai seluruh bumi!
10 Katakanlah kepada semua bangsa, "TUHAN itu raja! Bumi dikukuhkan dan tidak dapat digoncang; Dia akan menghakimi semua bangsa dengan adil."
11 Bersukacitalah, hai bumi dan langit! Berderulah, hai laut dan segala isimu!
12 Bergembiralah, hai ladang-ladang dan segala tanamanmu! Pokok-pokok di hutan akan bersorak kegirangan,
13 apabila TUHAN datang untuk memerintah bumi. Dia akan memerintah penduduk dunia dengan jujur dan adil.
