Chapter 136
1 Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik; kasih-Nya kekal abadi.
2 Bersyukurlah kepada Allah Yang Maha Tinggi; kasih-Nya kekal abadi.
3 Bersyukurlah kepada Tuhan Yang Maha Besar; kasih-Nya kekal abadi.
4 Hanya Dia yang melakukan keajaiban besar; kasih-Nya kekal abadi.
5 Dengan kebijaksanaan-Nya Dia menjadikan langit; kasih-Nya kekal abadi.
6 Dia menghamparkan bumi di atas air; kasih-Nya kekal abadi.
7 Dia menjadikan matahari dan bulan; kasih-Nya kekal abadi.
8 Dia menjadikan matahari untuk memerintah siang; kasih-Nya kekal abadi.
9 Dia menjadikan bulan dan bintang untuk memerintah malam; kasih-Nya kekal abadi.
10 Dia membunuh anak lelaki sulung orang Mesir; kasih-Nya kekal abadi.
11 Dia memimpin umat Israel keluar dari Mesir; kasih-Nya kekal abadi.
12 Dia melakukan semuanya dengan tangan yang kuat dan perkasa; kasih-Nya kekal abadi.
13 Dia membelah Laut Gelagah; kasih-Nya kekal abadi.
14 Dia memimpin umat-Nya melalui laut itu; kasih-Nya kekal abadi;
15 tetapi Dia menenggelamkan raja Mesir dan tenteranya; kasih-Nya kekal abadi.
16 Dia memimpin umat-Nya melalui gurun; kasih-Nya kekal abadi.
17 Dia membunuh raja-raja yang berkuasa; kasih-Nya kekal abadi.
18 Dia membunuh raja-raja yang termasyhur; kasih-Nya kekal abadi.
19 Dia membunuh Sihon, raja orang Amori; kasih-Nya kekal abadi.
20 Dia membunuh Og, raja negeri Basan; kasih-Nya kekal abadi.
21 Dia memberikan negeri mereka kepada umat-Nya; kasih-Nya kekal abadi.
22 Dia memberikannya kepada Israel, hamba-Nya; kasih-Nya kekal abadi.
23 Dia tidak melupakan kita apabila kita dikalahkan; kasih-Nya kekal abadi.
24 Dia membebaskan kita daripada musuh-musuh kita; kasih-Nya kekal abadi.
25 Dia memberikan makanan kepada semua makhluk hidup; kasih-Nya kekal abadi.
26 Bersyukurlah kepada Allah penguasa di syurga; kasih-Nya kekal abadi.
