Chapter 28
1 Mazmur Daud. Ya TUHAN, pembelaku, aku berseru kepada-Mu. Dengarlah teriakanku! Jika Engkau tidak mengabulkan doaku, aku seperti orang yang masuk ke lubang kubur.
2 Dengarkanlah aku ketika aku berseru meminta pertolongan, aku mengangkat tanganku ke arah Rumah-Mu yang suci.
3 Janganlah hukum aku bersama dengan orang durjana, bersama-sama orang yang melakukan kejahatan - orang yang bermulut manis, tetapi hati diliputi kebencian.
4 Hukumlah mereka kerana perbuatan mereka, kerana segala kejahatan yang telah dilakukan mereka. Hukumlah mereka kerana segala perbuatan mereka; balaslah mereka dengan sepatutnya.
5 Mereka tidak mempedulikan perbuatan TUHAN, mahupun segala ciptaan-Nya; oleh itu TUHAN akan menghukum mereka dan memusnahkan mereka selama-lamanya.
6 Pujilah TUHAN; Dia telah mendengar permohonanku.
7 TUHAN melindungi dan membela aku; aku percaya kepada-Nya. Dia menolong aku dan menggirangkan hatiku; aku memuji Dia dengan lagu kesyukuran.
8 TUHAN melindungi umat-Nya; Dia membela dan menyelamatkan raja pilihan-Nya.
9 Ya TUHAN, selamatkanlah umat-Mu, dan berkatilah mereka yang menjadi milik-Mu. Jadilah seperti gembala bagi mereka, dan jagalah mereka selama-lamanya.
