Chapter 63
1 Mazmur Daud, semasa dia di padang gurun Yehuda.
2 Ya Allah, Engkaulah Allahku, aku rindu akan Engkau. Seperti tanah tandus haus akan air, begitulah aku haus akan Engkau.
3 Izinkanlah aku melihat Engkau di Rumah-Mu, serta melihat kuasa dan kemuliaan-Mu.
4 Kasih-Mu lebih berharga daripada hidup, oleh itu aku memuji Engkau.
5 Aku bersyukur kepada-Mu seumur hidupku; aku menadahkan tangan kepada-Mu sambil berdoa.
6 Jiwaku dijamu dan dipuaskan, dan aku akan menyanyikan lagu-lagu pujian untuk-Mu.
7 Waktu aku berbaring di katil, aku ingat akan Engkau; sepanjang malam aku merenungkan Engkau,
8 kerana Engkau sentiasa menolong aku; aku menyanyi dengan riang di bawah naungan sayap-Mu.
9 Aku berpaut kepada-Mu, tangan-Mu yang kuat menopang aku.
10 Orang yang cuba membunuh aku akan turun ke dunia orang mati;
11 mereka akan dibunuh dalam pertempuran, dan mayat mereka dimakan serigala.
12 Raja akan bersukacita kerana Allah memberi raja kemenangan; semua orang yang berjanji demi Allah akan bergembira, tetapi suara pendusta akan disenyapkan.
