Chapter 149
1 Pujilah TUHAN! Nyanyikanlah lagu baru untuk TUHAN; pujilah Dia dalam perhimpunan umat-Nya yang setia!
2 Bergembiralah, hai orang Israel, kerana Pencipta kamu; bersukacitalah, hai penduduk Sion, kerana Raja kamu!
3 Pujilah nama-Nya dengan tarian; pujilah Dia dengan memainkan kecapi dan tamburin.
4 TUHAN berkenan kepada umat-Nya; Dia memberikan kemenangan kepada orang yang bergantung kepada-Nya.
5 Hendaklah umat Allah bersukacita kerana mereka menang, dan bernyanyi dengan gembira sepanjang malam.
6 Hendaklah mereka memuji Allah dengan bersorak-sorak, sambil memegang pedang yang tajam
7 untuk mengalahkan bangsa-bangsa, dan menghukum rakyat mereka;
8 untuk membelenggu raja-raja dan merantai pemimpin mereka,
9 untuk menghukum bangsa-bangsa menurut perintah Allah. Itulah kemenangan umat Allah. Pujilah TUHAN!
