Chapter 52
1 Untuk pemimpin koir. Sajak Daud,
2 pada masa Doeg, orang Edom itu menghadap Raja Saul dan memberitahu baginda bahawa Daud sudah pergi ke rumah Abimelekh.
3 Hai orang gagah, mengapa engkau membanggakan kejahatanmu terhadap orang yang dikasihi Allah?
4 Sepanjang hari engkau merancang kehancuran orang; mulutmu setajam pisau cukur, dan dusta sentiasa engkau karang.
5 Engkau lebih mencintai kejahatan daripada kebaikan, dan lebih menyukai fitnah daripada kebenaran.
6 Engkau suka menyakiti hati orang dengan kata-kata. Engkau pendusta!
7 Oleh itu, Allah akan memusnahkan engkau selama-lamanya; Dia akan menangkap dan menarik engkau dari rumah; Dia akan melenyapkan engkau dari dunia orang hidup.
8 Orang salih akan melihat perbuatan ini dan berasa takut; mereka akan mentertawakan engkau, dan berkata,
9 "Lihat, inilah orang yang tidak berlindung kepada Allah, tetapi yakin akan kekayaannya yang berlimpah, dan mencari perlindungan dalam jenayah."
10 Tetapi aku umpama pokok zaitun yang tumbuh di Rumah Allah; aku bergantung kepada kasih-Nya selama-lamanya.
11 Ya Allah, aku akan sentiasa bersyukur kepada-Mu, kerana segala perbuatan-Mu; di tengah-tengah umat-Mu, aku akan memberitakan kebaikan-Mu.
