Chapter 62
1 Untuk pemimpin koir. Menurut: Yedutun. Mazmur Daud.
2 Dengan tenang aku menantikan Allah; Dia sahaja yang menyelamatkan aku.
3 Hanya Dia pelindungku dan penyelamatku; Dialah pembelaku, dan aku tidak akan dikalahkan.
4 Sampai bilakah kamu semua akan menyerang seorang yang lemah seperti pagar yang hampir roboh, dan seperti dinding yang miring?
5 Kamu hanya ingin menjatuhkan dia dari tempat kehormatannya; kamu suka berdusta. Dengan mulut, kamu memberkati, tetapi kamu mengutuk dalam hati.
6 Dengan tenang aku menantikan Allah; Dia sahaja yang memberi aku harapan.
7 Hanya Dia pelindungku dan penyelamatku; Dialah pembelaku, dan aku tidak akan dikalahkan.
8 Penyelamatanku dan kehormatanku bergantung kepada Allah; Dialah pelindungku yang kuat; Dialah tempat perlindunganku.
9 Hai bangsaku, percayalah kepada Allah setiap masa. Beritahukanlah segala kesusahan kamu kepada-Nya, kerana Dialah penaung kita.
10 Manusia hanya seperti hembusan nafas; besar atau kecil sama-sama tidak berharga. Kalau ditimbang, mereka ternyata ringan, lebih ringan daripada sehembus nafas.
11 Jangan bergantung kepada hasil pemerasan; jangan harapkan keuntungan daripada rompakan; walaupan kekayaan kamu bertambah, jangan bergantung kepadanya.
12 Beberapa kali aku telah mendengar Allah berfirman bahawa kuasa berasal daripada-Nya,
13 dan bahawa kasih-Nya kekal. Engkau, ya Tuhan, membalas semua orang menurut perbuatan mereka.
