Chapter 32
1 Mazmur Daud. Sajak. Berbahagialah orang yang dosa mereka telah diampunkan, yang kesalahan mereka telah dimaafkan.
2 Berbahagialah orang yang tidak dituduh oleh TUHAN kerana kejahatan mereka, dan yang tidak suka menipu.
3 Ketika aku tidak mengakui dosaku, aku letih kerana menangis sepanjang hari.
4 Siang malam Engkau menghukum aku, ya TUHAN; tenagaku habis seperti embun diserap terik matahari.
5 Kemudian aku mengakui dosaku kepada-Mu; aku tidak menyembunyikan perbuatanku yang salah. Aku mengambil keputusan untuk mengakui dosaku kepada-Mu, dan Engkau mengampunkan segala kesalahanku.
6 Oleh itu semua umat-Mu yang setia haruslah berdoa kepada-Mu pada masa kesusahan; apabila banjir kesusahan melanda, mereka tidak ditimpanya.
7 Engkaulah tempat persembunyianku, Engkau akan menyelamatkan aku daripada kesusahanku. Aku bersorak memuji-Mu, kerana Engkau menyelamatkan dan melindungi aku.
8 TUHAN berfirman, "Aku akan menunjukkan jalan yang harus kauikuti. Engkau akan Kubimbing dan Kunasihati.
9 Janganlah bodoh seperti kuda atau baghal, yang mesti dikawal dengan tali dan kekang supaya menurut."
10 Orang jahat pasti menderita, tetapi orang yang berharap kepada TUHAN dilindungi oleh kasih-Nya.
11 Bergembiralah dan bersukacitalah, hai orang yang salih, kerana segala perbuatan TUHAN. Bersoraklah dan bersukacitalah, hai semua orang yang tulus hati.
