Chapter 46
1 Mazmur puak Korah. Untuk pemimpin koir. Dengan lagu Alamot.
2 Allah perlindungan dan kekuatan kita; Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan.
3 Oleh itu, kita tidak akan takut, walaupun bumi gempa dan gunung-gunung jatuh ke dasar laut;
4 walaupun laut mengamuk dan bergelora, dan gunung bergoncang dengan kuatnya.
5 Ada sebatang sungai yang menggembirakan kota Allah, tempat kediaman Allah Yang Maha Tinggi.
6 Allah tinggal di situ, kota yang tidak akan dimusnahkan; ketika masih subuh, Dia akan datang menolongnya.
7 Bangsa-bangsa ketakutan, kerajaan-kerajaan gentar; ketika Allah mengguntur, bumi pun lebur.
8 TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita; Allah Yakub melindungi kita.
9 Mari, lihatlah apa yang telah dilakukan TUHAN. Lihatlah, perbuatan Allah di bumi sangat menakjubkan.
10 Dia menghentikan perang di seluruh dunia; Dia mematahkan busur, memusnahkan lembing, dan membakar perisai.
11 Dia berfirman, "Berhentilah berperang, ketahuilah bahawa Aku ini Allah, yang agung antara bangsa-bangsa dan di seluruh bumi."
12 TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita; Allah Yakub melindungi kita.
