Chapter 143
1 Mazmur Daud. Ya TUHAN, dengarlah doaku, terimalah rayuanku! Engkau baik dan setia, oleh itu jawablah aku!
2 Janganlah hakimi aku, hamba-Mu; tiada seorang pun yang tidak bersalah di hadapan-Mu.
3 Musuhku telah memburu aku, dan mengalahkan aku. Dia memasukkan aku ke dalam penjara yang gelap, dan aku ini seperti orang yang sudah lama mati.
4 Oleh itu aku putus asa, aku tidak berdaya.
5 Aku mengingatkan masa yang lalu; aku memikirkan segala yang telah Engkau lakukan, aku mengenangkan segala perbuatan-Mu.
6 Aku berdoa dengan menghulurkan tangan kepada-Mu; aku memerlukan Engkau seperti tanah kering memerlukan hujan.
7 Jawablah aku segera, ya TUHAN, aku putus harapan. Jangan sembunyikan diri-Mu daripadaku, supaya aku tidak menjadi seperti orang yang sudah turun ke alam maut.
8 Setiap pagi ingatkanlah aku tentang kasih-Mu, kerana aku berharap kepada-Mu. Aku berdoa kepada-Mu; tunjukkanlah aku jalan yang harus aku tempuh.
9 Aku datang hendak berlindung kepada-Mu, ya TUHAN, selamatkanlah aku daripada musuhku.
10 Engkaulah Allahku; ajarlah aku melakukan kehendak-Mu. Berbuat baiklah kepadaku, dan pimpinlah aku ke jalan yang selamat.
11 Selamatkanlah aku, ya TUHAN, menurut firman-Mu; selamatkanlah aku daripada kesusahan kerana Engkau baik.
12 Bunuhlah musuhku kerana Engkau mengasihi aku; binasakanlah semua penindasku, kerana aku ini hamba-Mu.
