Chapter 57
1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, pada masa dia lari ke dalam gua untuk menghindari Raja Saul.
2 Kasihanilah aku, ya Allah, kasihanilah aku, kerana aku mencari keselamatan daripada-Mu. Aku mendapat perlindungan di bawah naungan sayap-Mu, sehingga ribut yang mengamuk sudah berlalu.
3 Kepada Allah Yang Maha Tinggi aku berseru, Dia Allah yang memenuhi segala keperluanku.
4 Dia akan menjawab dari syurga dan menyelamatkan aku; Dia akan mengalahkan orang yang menindas aku. Allah akan menunjukkan kasih dan kesetiaan-Nya kepadaku.
5 Aku dikepung oleh musuh, mereka seperti singa pemakan manusia. Gigi mereka seperti lembing dan anak panah; lidah mereka seperti pedang yang tajam.
6 Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit, dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi!
7 Musuhku memasang jaring untuk menangkap aku, aku diliputi perasaan putus asa. Mereka menggali lubang di jalanku, tetapi mereka sendiri terjatuh ke dalamnya.
8 Ya Allah, aku sungguh yakin kepada-Mu; aku hendak menyanyi dan memuji Engkau!
9 Bangunlah, hai jiwaku! Bangunlah, hai gambus dan kecapi! Aku akan membangunkan matahari!
10 Ya Tuhan, aku akan bersyukur kepada-Mu antara bangsa-bangsa. Aku akan memuji Engkau antara umat manusia.
11 Kasih-Mu membumbung setinggi langit, kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi.
12 Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit, dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi.
