Chapter 34
1 Mazmur Daud, ketika dia berpura-pura tidak waras fikiran di hadapan Abimelekh. Kemudian Daud pergi setelah diusir oleh Abimelekh.
2 Aku akan sentiasa bersyukur kepada TUHAN; aku tidak akan berhenti memuji Dia.
3 Aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya; semoga semua orang yang tertindas mendengar dan bergembira.
4 Agungkanlah TUHAN bersama dengan aku, marilah bersama-sama memuji nama-Nya.
5 Aku berdoa kepada TUHAN dan Dia mengabulkan doaku, Dia membebaskan aku daripada segala ketakutan.
6 Orang yang tertindas memandang Dia lalu bergembira; mereka tidak sekali-kali akan kecewa.
7 Orang malang berseru dan TUHAN menjawab, Dia membebaskan mereka daripada segala kesusahan.
8 Malaikat TUHAN mengawal orang yang menghormati-Nya, dan menyelamatkan mereka daripada bahaya.
9 Rasakanlah sendiri betapa baiknya TUHAN! Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya!
10 Hormatilah TUHAN, hai semua umat-Nya, kerana orang yang mentaati-Nya tidak akan berkekurangan.
11 Singa juga lapar kerana kekurangan makanan, tetapi orang yang mentaati TUHAN tidak kekurangan apa-apa yang baik.
12 Marilah, hai anak-anak semua dan dengarlah nasihatku, aku akan mengajar kamu menghormati TUHAN.
13 Mahukah kamu menikmati hidup? Mahukah kamu berumur panjang dan berbahagia?
14 Jangan keluarkan kata-kata jahat, dan jangan suka berdusta.
15 Tinggalkanlah yang jahat dan lakukanlah yang baik; usahakanlah kedamaian dengan tekun.
16 TUHAN memperhatikan orang salih, dan mendengar tangisan mereka;
17 tetapi Dia menentang orang yang berbuat jahat; apabila mereka mati, mereka cepat dilupakan.
18 Apabila orang salih berseru, TUHAN mendengar dan menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan.
19 TUHAN dekat kepada orang yang tawar hati; Dia menyelamatkan mereka yang putus asa.
20 Orang baik mengalami banyak kesusahan, tetapi TUHAN menyelamatkan mereka daripada semuanya;
21 TUHAN memelihara mereka dengan sempurna, tulang mereka tidak satu pun patah.
22 Orang jahat akan mati kerana kejahatan mereka; mereka yang membenci orang salih akan dihukum.
23 TUHAN akan menyelamatkan umat-Nya, mereka yang berlindung kepada-Nya akan diselamatkan.
