Chapter 26
1 Mazmur Daud. Berilah aku keadilan, ya TUHAN, kerana aku melakukan yang benar, dan aku percaya kepada-Mu dengan sepenuhnya.
2 Periksalah aku, ya TUHAN, dan ujilah aku, selidiklah keinginanku dan fikiranku.
3 Kasih-Mu membimbing aku; kesetiaan-Mu sentiasa memimpin aku.
4 Aku tidak bergaul dengan orang yang tidak berguna; aku tidak berhubungan dengan orang yang berpura-pura.
5 Aku membenci pergaulan dengan orang jahat, dan aku menjauhkan diri daripada penjahat.
6 Ya TUHAN, aku membasuh tanganku tanda tidak bersalah, dan aku mengelilingi mazbah-Mu untuk menyembah Engkau.
7 Aku menyanyikan sebuah mazmur dan memberitakan segala perbuatan-Mu yang ajaib itu.
8 Ya TUHAN, aku mengasihi Rumah kediaman-Mu, tempat yang penuh dengan kemuliaan-Mu.
9 Janganlah musnahkan aku bersama-sama orang berdosa; lindungilah aku daripada nasib pembunuh,
10 iaitu orang yang sentiasa melakukan kejahatan dan selalu sedia menerima rasuah.
11 Tetapi aku hidup dengan tulus hati; kasihanilah dan selamatkanlah aku.
12 Aku selamat daripada segala bahaya; aku akan memuji TUHAN dalam perhimpunan umat-Nya.
